Friday, December 23, 2005

dulu..

Dulu. Aku Pernah Bermimpi.


Malam... Cahaya siang sudah lama melemparkan sinarnya ke hujung garisan.Hujan. Titis-titis yang gugur menimpa atap mengalunkan irama yang tenang. Mendamaikan.

Aku yang sedang duduk di atas sejadah. Membaca surah-surah hadiah buat arwah.

Melihat. tiga anak kecil yang sedang menghirup tauhu di dalam mangkuk di meja makan.

Terukir sekuntum senyuman.

Fikiran ini jauh melayang.

Aku pernah mendambakan satu kehidupan. Punyai cita-cita. Punyai impian dan aku pernah bermimpi.

Ya. Dulu. Aku pernah bermimpi.

Aku pernah bermimpi bahawa aku bekerja menghadap kertas dan pena berdakwat halus.Tajam.Meneroka imaginasi di setiap ruang. Melakar keluk dan garisan.Sebelum permohonan aku untuk pengajian ditolak tanpa sebarang jawapan.

Aku pernah bermimpi yang aku punyai seorang suri yang ketika itu, diingat siang dan malam. Sebelum aku ditinggalkan.

Aku pernah bermimpi yang aku ini menghuni kota besar metropolitan. Menjadi warga yang menongkah cabaran.Hidup disinari lampu neon begemerlapan. Sebelum aku hilang punca apabila semua tempat latihan yang aku pohon dijawab ‘don’t call us, we’ll call u’. Ringkas dan senang.

Aku pernah bermimpi macam-macam. Sebelum aku bangkit disuluh cahaya siang.

Melihat dari satu sudut ruang. Nijai, anak yang kecil mengangkat ibu jari kanan menunjukkan isyarat bahawa tauhu yang disuap, sedap di makan.

Tatkala itu, mimpi-mimpi aku lebur.

Aku sudah punyai lebih dari segala yang pernah aku impikan.

Terima kasih Tuhan.