Friday, December 30, 2005

disember aku

Kala Hujan.


Hari ini, semalam dan hari sebelumnya bagaikan ramalan. Hujan. Lebat, mencurah, dingin dan sebam. Tiada warna-warna lukisan alam.

Aku sebenarnya cukup sukakan keadaan begini. Rasa tenteram, rasa selamat dan rasa begitu aman. Kalau, ianya sekadar hujan, bukan ribut yang menggoncang.

Hujan lebat sebegini cukup mengesankan. Aku masih dapat memutarkan bayang-bayangan silam. Berpuluh-puluh tahun kebelakang.Gambaran yang amat memilukan.

Tatkala aku masih kecil. Masih belum mengerti erti perit dan peri hidup ini. Kala hujan begini, aku lebih enak bergulung di dalam gebar kusam di atas tilam kekabu. Rasa dingin yang mendamaikan.

Angin di kala-kala begitu, di penghujung Disember sudah menjadi serasi.Bagaikan menyapa kami dengan degus dan hembus yang kadangkala seakan mengajak kami bermain bersama. Kau menghembus, kami berdiri sambil mendepakan tangan merasai tiap elusan jari-jemarimu ke tubuh kecil kami.

Malam itu, seperti malam-malam sebelumnya kau menghampiri, menyapa. Sebagaimana biasa, aku menarik gebar kusam membaluti tubul kecil tak berbaju dari digigit dingin tiupanmu.

Dan, aku terlena mengimpikan kita bersama. Bermain dan saling ketawa.

Tanpa aku sangka, gurauanmu kali ini.Keterlaluan.

Aku terjaga bila dikejutkan oleh abang aku. Aku bangkit dengan mata separuh terbuka dan mata fikir yang masih mahu menyambung mimpi. Mimpi kita.

Abang lantas mendukung aku di atas lengan-lengannya yang sasa. Bangkit dan keluar dari bilik yang penuh dengan tilam, medan lena kami sekeluarga.

Aku hanya mampu melihat. Gelap pekat di rabung rumah kami sesekali terang di sinari petir. Aku melihat hujan mencurah di tengah-tengah ruang rumah. Aku melihat Arwah Ayah, Mak dan adik beradik aku yang lain sudah berpelukan di satu sudut berhampiran pintu. Basah kuyup. Wajah-wajah yang takut.

Bumbung rumah kami sudah tiada. Atap nipah yang selama ini menjadi tempat teduhan kami sudah hilang disambar angin yang menggila.

Ruang tengah sudah mengumpul air yang bagai disimbah.

Abang berlari ke sudut itu. Sudut ahli keluarga aku berpelukan. Berdoa agar dijauhkan dari petaka malang.

Tubuh aku tiba-tiba melayang. Aku tersungkur jatuh. Abang sudah terkapar di atas licin tikar getah yang berkubang dengan air dan pelepah kelapa serta nipah yang pecah. Abang kembali bangkit, memaut tubuh kecilku dan kembali. Berlari.

Kami sekeluarga berkumpul di sudut itu. Sudut yang bagaikan satu-satunya ruang yang kami ada. Hujan tetap mencecah tubuh-tubuh kami tapi itu sahaja ruang yang ada.

Itu sahaja ruang yang ada.

Mak memeluk aku dan mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Aku tahu, bukan doa untuk dia. Doa untuk anak-anaknya. Doa dijauhkan dari bala bencana. Muka mak penuh berkaca. Aku melihat Mak pasrah dengan dugaanNya.

Melihat seluruh ruang yang ditimpa hujan. Melihat ke atas gelap awan dari tempat teduhan kami selama ini amat menyedihkan. Amat memilukan.

Aku sangka gurauanmu selama ini hanya sekadar gurauan yang sering kita lakukan. Rupanya kau benar-benar memberi ujian.

Kami tidur berpelukan sehingga pagi. Dalam basah seluruh tubuh kami. Dalam menanti angin dan hujan pergi. Jangan kau kembali.

...

Malam tadi.

Hujan lebat sebegini. Mungkin kau sekadar ingin menyapa. Ingin bergurau lagi. Mungkin dengan senyum yang sama seperti senyummu berpuluh tahun nan lalu. Aku bangkit. Melihat wajah-wajah kecil yang bergulung di dalam gebar. Rasa aman, rasa selamat, rasa dingin sampai ke kaki.

Aku memandang ke atas. Rabung yang masih utuh. Atap genting. Dinding dari konkrit.

Aku berbisik. Jangan kau kembali lagi.

Jangan.!

Berlalulah dengan aman.

Aku tak rela wajah-wajah kecil itu kembali berpelukan di dalam hujan di satu sudut ruang.

Belalang/~selamat tinggal disember 2005